Sukan berkuda sering kali dianggap sebagai hobi golongan elit kerana kos untuk memiliki dan menjaga haiwan tersebut sangat tinggi serta mencecah ribuan ringgit.
Namun, kini aktiviti tersebut sudah boleh dilakukan oleh orang ramai memandangkan terdapat pelbagai kelab sukan berkuda yang menyediakan harga yang berpatutan.
Seperti aktor kacak, Hisyam Hamid, dia memilih sukan ini sebagai aktiviti kegemarannya kerana sebahagian daripada sunah selain berpendapat mempunyai pelbagai kebaikan untuk menjaga kesihatan tubuh badan.
“Hobi yang saya selalu lakukan pada waktu lapang adalah menunggang kuda. Kebiasaannya saya akan bersenam ke gim dan berlari untuk kesihatan diri.
“Pada saya, menunggang kuda ini aktiviti yang sangat menarik kerana aktiviti ini adalah salah satu sunnah. Kedua, aktiviti ini adalah senaman yang sangat bagus untuk fizikal, stamina, kesabaran dan banyak lagi kebaikannya.
“Yang paling penting, saya seronok ketika menunggang kuda. Tidak sama seperti senaman yang lain kerana itu sekadar tuntutan untuk sentiasa kekal sihat,” katanya kepada Pancaindera.
Kata aktor yang berasal dari Singapura itu, dia baru sahaja menceburi sukan berkuda ini selama dua tahun selepas diperkenalkan oleh pelakon Idzham Ismail.
Kongsinya, sukan berkuda ini menjadi lebih menyeronokkan selepas berjaya menguasai dan mahir mengendalikan teknik asas yang perlu dipelajari sebelum menunggang.
“Sebenarnya, minat menunggang kuda itu baru lagi dalam dua tahun. Idzham Ismail yang cadangkan saya untuk cuba lakukan aktiviti tersebut. Mula-mula memang susah dan amat memenatkan tetapi bila dah cuba, saya jadi seronok.
“Cabarannya hanya pada awal saja sebab ada teknik dan cara yang kita perlu belajar serta faham sebelum menunggang kuda. Saya kerap mengalami kekejangan kaki dan sakit badan pada awalnya. Selepas praktikkan ilmu yang sudah dipelajari semuanya menjadi mudah.
“Setakat ini saya tidak pernah jatuh kuda. Saya pernah hampir terjatuh, tetapi saya sempat berpaut pada leher kuda tersebut,” jelasnya.
Selain menganggap aktiviti itu sebagai terapi, Hisyam menyifatkan sukan berkuda juga membantu dirinya melupakan tentang kesibukan kerja buat seketika meskipun terikat dengan jadual yang padat.
“Susah sebenarnya untuk bahagikan masa kerana waktu pengambaran itu tidak menentu masanya. Sekiranya ada masa dan ruang pula saya mahu berehat. Tetapi saya cuba cari masa untuk lakukan aktiviti itu.
“Aktiviti itu juga salah satu cara untuk saya mengelak dan berehat seketika daripada kerja lain. Menunggang kuda juga dapat tenangkan fikiran dan jiwa. Aktiviti ini adalah terapi untuk saya,” katanya.
Bagaimanapun, Hisyam memaklumkan dirinya tidak menyertai sebarang komuniti ada kelab sukan berkuda selain melakukan aktiviti tersebut bersama kenalan rapatnya.
“Saya tidak menyertai mana-mana komuniti tetapi, ada saja kawan-kawan yang ajak saya menunggang kuda di luar gelanggang bersama. Apabila sudah mahir mengawal kuda dalam gelanggang, kita boleh pergi ke pantai, hutan atau mana-mana kawasan yang tidak berpagar,” jelasnya.
Bercakap tentang sukan berkuda, pasti ada yang berpendapat aktiviti ini memerlukan modal yang besar kerana kelengkapannya juga boleh dikatakan mahal.
Namun, Hisyam berjaya meruntuhkan stigma tersebut kerana sering membuat perbandingan harga dengan bijak sebelum membeli kelengkapan khas untuk aktiviti itu.
“Masa awal penglibatan dalam aktiviti ini, saya hanya berbelanja sekitar RM1,000 untuk beli topi keledar, sarung tangan dan pakaian lengkap untuk sukan berkuda ini. Boleh saja untuk berbelanja bawah dari jumlah tersebut tapi bergantung pada jenama.
“Saya ingat kelengkapan yang paling mahal saya beli ketika itu adalah topi keledar. Saya nak sangat topi keledar itu kerana berwarna merah itu warna kegemaran saya. Jenama topi keledar itu pula antara yang mahal tapi saya beli juga,” ujarnya.