PONTIAN: Komuniti nelayan di Pangkalan Penghulu, Serkat, dekat sini mengakui kecewa apabila permohonan mereka untuk mendapat sebuah jeti baharu belum tercapai walaupun sudah menanti sejak tujuh tahun lalu.
Mereka mendakwa jeti baharu sepanjang 120 meter dengan kos RM1 juta telah dijanjikan oleh bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Allahyarham Datuk Seri Sallehudin Ayub pada tahun 2018.
Menurut Bendahari Pakatan Nelayan Pangkalan Penghulu, Zaini Ali, 42, jeti sedia ada telah rosak dan lebih 100 nelayan di pangkalan tersebut amat berharap jeti baharu dapat dibina dengan segera pada tahun ini demi kemudahan dan keselamatan mereka membawa hasil tangkapan.
Selain jeti, kos sebanyak RM1 juta yang dijanjikan termasuk pembinaan wakaf, sebuah kantin dan bengkel membaiki enjin bot di kawasan berkenaan.
“Sudah masuk tahun 2025, namun bayang jeti pun tidak nampak, ada macam-macam cerita kami dengar, duit (peruntukan) sudah turun kepada kerajaan negeri tetapi ada tolak menolak antara Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Mungkin sebelum ini kerana Covid-19 pada 2019 dan pertukaran kerajaan Pusat, tetapi kami nelayan mengharapkan janji tersebut dapat ditunaikan bukan ‘hilang’ begitu sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zaini berkata, projek pembinaan jeti baharu itu bukan sahaja untuk keperluan nelayan, malah juga pengunjung yang datang bagi menikmati masakan asam pedas yang diusahakan oleh pihaknya.
Seorang nelayan, Alias Awang, 63, pula mendakwa, disebabkan masalah jeti yang kurang selamat, pengunjung semakin berkurangan datang ke kedai asam pedas berbanding sebelum ini.
“Jika dibiarkan, kita bimbang lebih banyak bahagian yang akan runtuh memandangkan jeti ini telah berusia lebih 25 tahun. Kami bimbang jeti ini boleh runtuh sama ada malam atau siang,” katanya.
Rakannya, Rahim Saman, 60, pula berkata, keadaan jeti yang usang menyukarkan nelayan membina tangga atau tempat untuk turun kerana bimbang akan roboh.
“Ini menyebabkan kami terpaksa menggunakan tangga atau peralatan sedia ada walaupun boleh mengundang bahaya kerana kebanyakannya telah usang dan reput,” katanya. – UTUSAN