Suami, isteri maut nahas tiga buah kenderaan 

Suami, isteri maut nahas tiga buah kenderaan 

KEADAAN kenderaan terbabit kemalangan di Jalan Seremban - Kuala Pilah di Bukit Putus dekat Seremban, petang semalam. - GAMBAR/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sepasang suami isteri berusia 50-an, maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam nahas di Jalan Seremban-Kuala Pilah menghala ke Seremban dekat Bukit Putus di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.45 petang membabitkan Proton Exora, Perodua Kancil dan Perodua Axia.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Proton Exora dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun, sedang bergerak dari Seremban ke Kuala Pilah.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, dipercayai pemandu kereta telah gagal mengawal kenderaannya lalu masuk ke laluan bertentangan, melanggar Perodua Kancil dan Perodua Axia.

“Kesemua kenderaan terlibat terbabas ke penghadang besi sebelah kiri jalan arah ke Seremban. Akibat kemalangan ini, mangsa, penumpang hadapan Perodua Axia cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu Perodua Axia juga cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Zon Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamad Hatta berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat.

Sementara itu, pemandu Proton Exora yang ketika kejadian memandu seorang, turut cedera parah iaitu patah kedua-dua belah kaki. 

“Kesemua pemandu serta penumpang Perodua Kancil hanya cedera ringan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya