PETALING JAYA: Polis menahan sepasang suami isteri berhubung dakwaan kes penipuan berjumlah RM95,180 membabitkan isteri kepada pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi berkaitan menukar hukuman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menahan sepasang suami isteri berusia lingkungan 20-an malam tadi.
“Kedua-dua suspek ditahan pada pukul 10 malam di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang.
“Kita akan memohon reman mereka di Mahkamah Kajang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, setakat ini pihak polis telah merakam keterangan seramai tiga individu termasuk isteri kepada Along Cham bagi membantu siasatan.
Terdahulu, media melaporkan polis menerima laporan yang dibuat Afreena berhubung dakwaan kes penipuan berjumlah RM95,180 berkaitan kes penipuan tawaran bantuan urusan menukar seksyen hukuman di mahkamah.
Hussein dilaporkan, siasatan mendapati pada Disember lalu mangsa berjumpa dengan suspek bagi membincangkan mengenai masalah yang dihadapi suaminya dan menawarkan bantuan untuk menurunkan seksyen kesalahan.
“Suspek beberapa kali berjumpa dengan mangsa dan meyakinkan mangsa bahawa suspek boleh membantu mangsa untuk menyelesaikan masalah berkenan.
“Mangsa yang bersetuju kemudian membuat bayaran berjumlah RM95,180 ke dalam dua akaun bank yang diberikan suspek, namun selepas bayaran dibuat mangsa mendapati suspek tidak menunaikan bantuan berkenaan dan tampil membuat laporan,” katanya.
Kes disiasat di bawab Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sebelum ini, media melaporkan Afreena tampil membuat laporan polis kelmarin selepas mendakwa ditipu seorang individu membabitkan wang sebanyak RM95,180.
Menerusi hantaran di Instagram, Afreena turut menyatakan dirinya yakin bahawa kebenaran akan terungkap selepas laporan berkenaan dibuat.
Along atau Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, mendakwa isterinya itu menyeleweng sumbangan awam hampir RM100,000 yang diterima daripada rakan-rakan artis. – UTUSAN