PETALING JAYA: Sepasang suami isteri direman bagi membantu siasatan dakwaan kes penipuan berjumlah RM95,180 membabitkan isteri kepada pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi berkaitan menukar hukuman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mendapatkan perintah selama empat hari terhadap suspek lelaki manakala isterinya direman selama tiga hari masing-masing bermula hari ini.
“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, sepasang suami isteri berusia lingkungan 20-an ditahan di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang kira-kira pukul 10 malam, semalam.
Hussein dilaporkan berkata, setakat ini pihak polis telah merakam keterangan seramai tiga individu termasuk isteri kepada Along Cham bagi membantu siasatan.
Siasatan mendapati pada Disember lalu mangsa berjumpa dengan suspek bagi membincangkan mengenai masalah yang dihadapi suaminya dan menawarkan bantuan untuk menurunkan seksyen kesalahan.
Suspek beberapa kali berjumpa dengan mangsa dan meyakinkan mangsa bahawa suspek boleh membantu mangsa untuk menyelesaikan masalah berkenan.
Mangsa yang bersetuju kemudian membuat bayaran berjumlah RM95,180 ke dalam dua akaun bank yang diberikan suspek, namun selepas bayaran dibuat mangsa mendapati suspek tidak menunaikan bantuan berkenaan dan tampil membuat laporan.
Sebelum ini, media melaporkan Afreena tampil membuat laporan polis kelmarin selepas mendakwa ditipu seorang individu membabitkan wang sebanyak RM95,180.
Menerusi hantaran di Instagram, Afreena turut menyatakan dirinya yakin bahawa kebenaran akan terungkap selepas laporan berkenaan dibuat.
Along atau Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, mendakwa isterinya itu menyeleweng sumbangan awam hampir RM100,000 yang diterima daripada rakan-rakan artis. – UTUSAN