PETALING JAYA: Sepasang suami isteri yang ditahan dipercayai mendera anak perempuan berusia tujuh tahun sehingga meninggal dunia di Kajang dekat sini semalam direman selama enam hari.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kedua-dua individu berusia 38 dan 40 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Selasa depan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital oleh pasangan suami isteri terbabit dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Naazron dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada pihak hospital pada pukul 1.11 pagi dan hasil bedah siasat menemukan banyak tanda kesan dera lama dan baharu pada fizikal mangsa.
“Punca kematian disebabkan kecederaan di perut akibat objek tumpul,” katanya. – UTUSAN