Suami isteri didenda berniaga tanpa lesen

Suami isteri didenda berniaga tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gara-gara menjalankan perniagaan kawalan keselamatan tanpa lesen, sepasang suami isteri masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Majistret Farah Azura Mohd. Saad memutuskan demikian setelah kedua-dua tertuduh yang juga pemilik syarikat, V. Anbarasan, 47, dan isterinya, K. Shoba Devi, 45, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, Anbarasan selaku pemegang saham dan Shoba Devi sebagai pengarah syarikat didapati telah menjalankan Perniagaan Agensi Persendirian tanpa lesen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 9.30 malam, 21 Oktober 2024 di Pos Pengawal Badan Pengurusan Bersama (JMB) Kompleks Suria Kinrara, Puchong di sini.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Agensi Persendirian 1971 dan boleh dihukum di bawah Sekyen 14 akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Pegawai Pendakwa daripada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Siti Salmi Ashaari mencadangkan hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada syarikat kawalan keselamatan lain. 

“Syarikat ini tidak mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan pengawal keselamatan yang mana ia boleh mengganggu gugat keselamatan negara.

“Mereka mengambil pengawal keselamatan tanpa sebarang tapisan. Sekiranya berdaftar dengan KDN, kita akan melakukan pemeriksaan dan tapisan bagi memastikan pengawal keselamatan tersebut tidak mempunyai rekod lampau atau sejarah jenayah,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela, Datuk Suraj Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya kerana telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

“Tertuduh mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah. Anbarasan hanya bekerja sebagai penyelia tapak binaan dengan gaji RM2,000 sebulan manakala isterinya tidak bekerja. Kedua-dua mereka benar-benar insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi. 

“Mohon jasa baik mahkamah untuk mempertimbangkan hukuman denda paling minimum dikenakan terhadap kedua-duanya” katanya.

Menurut fakta kes, sepasukan Pegawai Penguatkuasa dan Kawalan KDN telah pergi ke Pos Pengawal JMB Kompleks Suria Kinrara dan memperkenalkan diri sebagai Pegawai Penguatkuasa KDN kepada empat orang lelaki India yang berada di pos pengawal tersebut.

Kesemua pengawal keselamatan dan pegawai ronda itu telah memberikan pengakuan secara lisan bahawa mereka merupakan pengawal keselamatan dan pegawai ronda yang bekerja dengan syarikat itu.

Hasil semakan Electronic Security Industry Management System (ESIMS) KDN mendapati syarikat itu tidak berdaftar dengan KDN.

Siasatan yang dijalankan juga mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh KDN bagi menjalankan perniagaan agensi persendirian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya