KOTA BHARU: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri tabung derma di sebuah kedai runcit, 3 Januari lalu.
Tertuduh, Muhammad Saiful Ismail, 28, yang bekerja sebagai buruh mengaku bersalah manakala isteri, Nor Fatin Afiqah Shaari, 19, suri rumah, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mencuri tabung derma berisi wang dari kedai runcit milik Akbar Ali Alimudin, 27. Perbuatan itu dilakukan pada pukul kurang 12.44 tengah hari, pada 3 Januari 2025 di Beris Panchor, Pengkalan Chepa.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,500 kepada Muhammad Saiful dan membenarkan isterinya dijamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah menetapkan 23 Februari ini untuk serahan dokumen.
Terdahulu, tular video berdurasi 51 saat dalam laman Facebook pada 4 Januari lalu yang memaparkan pasangan suami isteri itu yang menaiki sebuah motosikal masuk ke dalam kedai runcit sebelum membawa lari sebuah tabung yang berada berdekatan kaunter wang. – UTUSAN