SHAH ALAM: Seramai 65 petugas Pejabat Komunikasi Strategik Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyertai program STRATCOMM@ctive brisk walk di sini hari ini.
Program ini dianjurkan oleh Kelab Kebajikan Stratcomm, Pejabat Komunikasi Strategik UiTM sebagai inisiatif menggalakkan gaya hidup sihat.
Aktiviti dimulakan dengan senaman ringan untuk memanaskan badan sebelum acara brisk walk sejauh tiga kilometer di sekitar kampus UiTM bermula pada jam 8.25 pagi.
Pengerusi Kelab Kebajikan Stratcomm, Muhammad Irsyad Mohd Ramzan berkata, program ini menyediakan platform santai untuk ahli kelab berinteraksi sambil memupuk gaya hidup sihat.
Kata beliau, program tersebut juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan fizikal dan mental dalam kalangan warga kerja.
“Melalui aktiviti ini, ahli dapat meluangkan masa bersama, mengurangkan tekanan, dan memperkukuhkan hubungan silaturahim.
“Perancangan aktiviti berkala seperti permainan badminton dan bola tampar turut diatur untuk memastikan ahli terus aktif menggunakan kemudahan sedia ada di kampus,” katanya dalam kenyataan media.
Program ini juga menyahut amanat Naib Canselor UiTM yang menekankan pentingnya menjaga kesihatan di kalangan staf.
Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik) UiTM, Prof Dr Ismie Roha Mohamed Jais, serta pengurusan kanan Pejabat Komunikasi Strategik turut menyertai acara tersebut. – UTUSAN