KOTA KINABALU: Nampak gaya kedua-dua parti iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) juga tidak berminat kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan).
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun berkata demikian semasa mengulas tentang hasrat Warisan yang dikatakan hanya ingin bekerjasama dengan PBS dan STAR yang merupakan anggota GRS.
Beliau berkata, sekiranya Warisan hendak bekerjasama dengan PBS dan STAR itu terpulang kepada mereka, namun berdasarkan ucapan kedua-dua pemimpin parti tersebut, nampak gaya mereka pun tidak berminat bekerjasama dengan Warisan.
“Jadi, kalau sama-sama tidak minat, maka, tiada apa-apa yang boleh dibincangkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kepala singa kepada masyarakat Tionghoa Sabah sempena Tahun Baharu Cina di Dewan Hakka, hari ini.
Mengenai cadangan Warisan untuk menggabungkan parti-parti tempatan, Masidi berkata, beliau secara peribadi tidak tahu ada jemputan daripada Warisan untuk berbincang tentang perkara itu.
Mengulas tentang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang perlu bersih daripada dakwaan rasuah, beliau berkata, kepercayaan harus diberi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan.
Masidi, yang juga Menteri Kewangan berkata, setakat ini belum ada perkembangan mengenai siasatan kes tersebut. Namun, sekiranya diperlukan untuk memberi keterangan tambahan, beliau bersedia untuk tampil di Pejabat SPRM Sabah bagi memberi kenyataan. – UTUSAN