SPRM sedia bantu DBKL siasat dakwaan salah laku ahli lembaga penasihat

SPRM sedia bantu DBKL siasat dakwaan salah laku ahli lembaga penasihat

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam siasatan terhadap dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat berkaitan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini tiada siasatan dibuka oleh pihaknya berhubung dakwaan itu.

“Jika DBKL ingin mendapatkan bantuan, saya (SPRM) tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, media melaporkan DBKL melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif mengesahkan siasatan ini berkata, beliau sedang bekerjasama dengan unit integriti DBKL.

Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu mula tular di media sosial hari ini.

Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.

Menurut dakwaan di media sosial, ahli lembaga penasihat itu dikatakan memegang jawatan dalam syarikat yang dianugerahkan projek berkenaan.

Maimunah berkata, DBKL masih mengumpul maklumat dan bukti mengenai perkara ini sebelum memutuskan langkah seterusnya, termasuk membuat laporan kepada SPRM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya