PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memulihkan wang dipercayai dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kira-kira AS$20 juta (RM90 juta) berkaitan projek tenaga solar di Malaysia.
SPRM dalam kenyataan berkata, pemulihan aset itu hasil kerjasama erat antara SPRM bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).
Katanya, wang tersebut melibatkan Frank White Jr., seorang ahli perniagaan dan rakan kongsi firma pelaburan DuSable Capital Management LLC (DuSable). White Jr. secara sukarela bersetuju untuk menyerahkan wang tersebut kepada DOJ.
“Ini selepas didapati bahawa dana yang diterima oleh DuSable berasal daripada sumber yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang disalahgunakan meskipun beliau tidak menyedari sumber dana itu pada waktu penerimaan.
“Sehingga kini, sebanyak RM29.73 bilion telah berjaya dipulangkan kepada kerajaan Malaysia namun tidak termasuk AS$20 juta yang dipulihkan hasil usaha SPRM dan FBI baru-baru ini,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, SPRM juga sedang giat mendapatkan semula aset yang telah diselewengkan dari Kuwait, Hong Kong, United Kingdom dan beberapa buah negara di Eropah.
Jelasnya, SPRM dan kerajaan Malaysia komited untuk meneruskan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB.
“Usaha ini akan terus diperhebatkan melalui kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa untuk memastikan aset-aset yang disalahgunakan dapat dipulihkan demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Tahun lalu, media melaporkan sebanyak RM29.03 bilion aset 1MDB telah berjaya dipulangkan dari tahun 2019 sehingga kini.
Aset-aset berkenaan berjaya dipulangkan menerusi kerjasama SPRM bersama Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB (PPA1M) selain kerjasama daripada agensi luar negara. – UTUSAN