SPRM, BNM tahan 12 individu dipercayai sindiket pengubahan wang haram libat syarikat perunding kewangan

SPRM, BNM tahan 12 individu dipercayai sindiket pengubahan wang haram libat syarikat perunding kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan sindiket kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dipercayai bersekongkol dengan pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Difahamkan, pembongkaran kegiatan sindiket itu dilakukan di 24 buah lokasi termasuk rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang, semalam.

Menerusi serbuan itu, pasukan operasi SPRM turut melakukan tangkapan terhadap 12 individu disyaki terlibat dengan sindiket tersebut.  

Kesemua 12 individu tersebut termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, seorang pengarah yayasan, seorang pengurus dan seorang bekas pengurus jualan institusi perbankan direman pagi tadi. 

Mereka ditahan kerana dipercayai terbabit rasuah dan kegiatan pengubahan wang haram melibatkan permohonan pinjaman peribadi daripada beberapa institusi perbankan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua suspek ditahan dalam Op Sky yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, penahanan tersebut dilakukan di beberapa buah institusi kewangan tempatan di sekitar Lembah Klang, semalam. 

Menurutnya, siasatan awal mendapati terdapat pegawai di beberapa institusi perbankan dipercayai menerima rasuah daripada pegawai syarikat perunding kewangan.

Jelasnya, ia sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan pinjaman peribadi pelanggan yang dikenalpasti mempunyai hutang lapuk.

“Pegawai bank yang terlibat telah mengenalpasti pelanggan-pelanggan yang terdiri daripada penjawat awam yang mempunyai hutang lapuk.

“Susulan itu, pegawai bank akan memperkenalkan pelanggan kepada syarikat perunding kewangan yang akan menawarkan bantuan skim ‘multiple loan’,” katanya. 

Menurut Azam lagi, syarikat perunding kewangan tersebut dipercayai akan membantu menyediakan dokumen yang mengandungi maklumat palsu, seterusnya akan dihantar ke beberapa institusi kewangan untuk mendapatkan pinjaman.

Jelasnya, hasil siasatan menunjukkan syarikat perunding akan mendahulukan wang kepada peminjam untuk melangsaikan hutang tersebut.

“Setelah pinjaman diluluskan, peminjam akan membayar balik pendahuluan itu manakala baki pinjaman dilaburkan dalam satu skim pelaburan.

“Dalam operasi itu, SPRM turut membekukan 70 akaun syarikat dan individu membabitkan nilai lebih RM16.2 juta,” katanya. 

Menurutnya, sebanyak sembilan unit kenderaan pelbagai jenama terdiri daripada Ferrari F8 Spider, Lexus RC300, Mercedes-Benz GLC43, BMW, Toyota Alphard, Mazda serta Honda turut disita SPRM. 

Katanya, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM300,000 selain mata wang Hong Kong (HKD)95,000 (RM54,967) serta 17 utas jam tangan mewah dianggarkan berjumlah lebih RM11.1 juta.

“Selain itu, SPRM turut menyita lima unit beg tangan berjenama dianggarkan bernilai lebih RM430,000, lima set barang kemas dianggarkan berjumlah lebih RM50,000 serta dua unit komputer riba dan dua unit tablet,” ujarnya. 

Tambahnya, perintah reman selama lima hari sehingga Sabtu ini telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin terhadap serama 10 suspek lelaki dan dua suspek wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009,” katanya.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya