PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan aset bernilai lebih RM116.69 juta di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) sepanjang tahun lalu.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya turut menyita pelbagai aset bernilai lebih RM97.9 juta menerusi pelbagai operasi serta kes rasuah sepanjang tempoh sama.
Beliau berkata, statistik turut merekodkan sebanyak 1,163 kes dikesan melibatkan nilai kompaun berjumlah RM60.82 juta sepanjang tempoh sama.
“Di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan itu, nilai pembekuan aset direkodkan sebanyak RM116.69 juta, manakala bagi pelucutan hak aset bernilai RM12.69 juta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Bagi tempoh sama juga, katanya, seramai 1,334 individu ditahan di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pengubahan Wang Haram 2001 dan mengikut Kanun Keseksaan dan seramai 453 daripadanya sudah dituduh di mahkamah.
“Selain itu, pemulihan semula aset yang berjaya dilaksanakan sepanjang tahun lalu pula bernilai RM66.55 juta,”katanya.
Katanya, tindakan pelucutan hak berkenaan dilaksanakan di bawah pelbagai kaedah undang-undang termasuk Kanun Tatacara Jenayah, Akta Pengubahan Wang Haram 2001 dan Akta SPRM 2009. – UTUSAN