RANTAU PANJANG: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertulis melibatkan seramai 27,017 calon di Kelantan berjalan dengan lancar termasuk di dua sekolah di Rantau Panjang yang masih digenangi banjir.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan , Datuk Mohd. Zamri Abdul Aziz berkata, Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab (A) Al-Falah dan SMU (A) Diniah masih digenangi air sedalam 0.3 meter namun peperiksaan SPM berjalan lancar.
“Semua calon kekal menduduki peperiksaan di sekolah itu kerana banjir semakin surut. Calon SPM di SMU (A) Diniah seramai 35 orang dan 48 calon di SMU (A) Al-Falah,” katanya sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang di sini, hari ini.
Mohd. Zamri berkata, calon-calon SPM di negeri ini menduduki peperiksaan itu 284 pusat peperiksaan. – UTUSAN