BATU PAHAT: Sebanyak 133 pusat peperiksaan alternatif disediakan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekiranya berlaku banjir di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, langkah tersebut merupakan antara mekanisme dan pelan integrasi bagi memastikan semua calon SPM di negeri berisiko banjir dapat menduduki peperiksaan berkenaan.
Sekiranya berlaku banjir, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan mengaktifkan Op Payung bagi membantu calon dan pada petugas peperiksaan yang terkesan.
“KPM akan pastikan calon-calon SPM ditempatkan di sekolah yang mempunyai asrama sebagai mekanisme sekiranya banjir berlaku sebagaimana yang dibuat semasa ujian lisan tempoh hari.
“Sekiranya sekolah yang terlibat sebagai pusat peperiksaan dilanda banjir. Maka, kita akan alihkan calon SPM di pusat alternatif ke sekolah yang tidak dilanda banjir,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan hari pertama peperiksaan bertulis SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Batu Pahat, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan negeri, Hanafi Samad dan Pengetua SMK Tinggi Batu Pahat, Ramlan Pit.
Azman berkata, pihaknya juga menyediakan khidmat bantuan psikososial bagi calon SPM yang mengalami tekanan akibat banjir.
“KPM bersedia sepenuhnya dengan petugas yang akan memberikan perkhidmatan berkaitan dengan sokongan psikososial kepada calon-calon SPM di seluruh negara. Ini kerana KPM mempunyai pasukan yang melibatkan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah-sekolah, di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan juga di JPN,” katanya.
Seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2024 di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula 2 Disember lalu.
SPM 2024 bermula dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 2, 3, 4 dan 5 Disember, Ujian Amali Sains (9,10 dan 12 Disember); Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (16,17,18, dan 19 Disember); Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (31 Disember) serta Peperiksaan Bertulis (2 Januari hingga 6 Februari 2025).
Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di sembilan jajahan di Kelantan, iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli dalam tempoh tiga hari bermula Sabtu ini. – UTUSAN