JOHOR BAHRU: Prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedia ada ‘kalis’ daripada kebocoran kepada pihak luar.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan SOP yang berada pada tahap terbaik itu sentiasa dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
Katanya justeru tidak timbul isu kebocoran bagi kertas Sejarah peperiksaan SPM 2024 seperti yang didakwa sesetengah pihak sebelum ini.
“Daripada siasatan dilakukan KPM, tidak berlaku kebocoran bagi kertas Sejarah. Bila disebut kebocoran, maksudnya ialah keseluruhan naskhah peperiksaan itu adalah bocor.
“SOP sedia ada yang dikuatkuasakan ketika ini sudah berada pada tahap terbaik dan akan pastikan ia terus dipatuhi sepanjang peperiksaan dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Johor 2025 di Jabatan Pendidikan Negeri Johor, di sini hari ini.
Yang turut dihadiri Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff dan Pengarah JPN Johor, Mohd. Hanafi Samad.
Sementara itu, ditanya tentang situasi banjir di negeri ini, Azman berkata, seramai tujuh mangsa banjir dalam kalangan calon SPM menduduki peperiksaan Matematik Tambahan hari ini.
Katanya, Pejabat Pendidikan Daerah telah melaksanakan program intervensi bagi memastikan semua calon terlibat dapat hadir ke sekolah manakala, tidak ada Pusat Peperiksaan Alternatif (PPA) diaktifkan ketika ini. – UTUSAN