'Sokongan kaum India terhadap DAP masih tinggi di Pulau Pinang'

‘Sokongan kaum India terhadap DAP masih tinggi di Pulau Pinang’

RAMKARPAL Singh (tiga dari kanan) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Majoriti kaum India di Pulau Pinang masih menyokong DAP walaupun pernah terpalit dengan isu beberapa ahlinya dalam kalangan masyarakat itu yang memilih keluar parti ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di sini, dua tahun yang lalu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa DAP Pulau Pinang, Ramkarpal Singh berkata, tindakan keluar parti itu bagaimanapun dianggap sebagai biasa atau ‘asam garam’ dalam dunia politik.

“Walaupun ada rasa tidak puas hati, yang penting, dalam tempoh jangka masa panjang, kita akan terus bekerjasama serta berusaha untuk menjaga kebajikan masyarakat khususnya kaum India Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang di sini, hari ini.

Pada Ogos 2023 yang lalu, pemimpin kaum India yang berpengaruh di Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy mengumumkan keluar dari DAP dan meletakkan semua jawatannya dalam parti itu sebelum tindakan tersebut diikuti oleh beberapa ahli DAP yang berketurunan India.

Ramasamy yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dan bekas Pengerusi DAP negeri kemudian menubuhkan parti baharu yang dikenali sebagai Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia atau Urimai untuk memperjuangkan nasib kaum India di negeri itu.

Dalam pada itu, Ramkarpal berkata, usaha terbaru untuk menghidupkan semula Biro Hal Ehwal Masyarakat India di Pulau Pinang diyakini dapat memantapkan lagi sokongan kaum itu kepada DAP ketika ini.

Beliau berkata, inisiatif itu juga adalah bukti komitmen DAP dalam menangani isu-isu utama masyarakat India di negeri ini.

“Biro ini pada asalnya telah ditubuhkan pada 2008 oleh mendiang bapa saya, Karpal Singh, namun, ia tidak aktif selepas tahun 2009.

“Kini, ia dihidupkan semula (bermula November 2024) sebagai platform khusus untuk mendengar dan menyelesaikan masalah masyarakat India, termasuk dalam bidang kebajikan, pendidikan, pekerjaan, dan menangani isu pengangguran.

“Dengan langkah ini, kami yakin penerimaan masyarakat India terhadap DAP akan terus meningkat, kerana usaha kami sentiasa fokus kepada kesejahteraan mereka,” katanya.

Tambah Ramkarpal, mesyuarat pertama biro itu dijadual diadakan selepas sambutan Tahun Baharu Cina, di mana pemegang jawatan akan dilantik dan peranan khusus akan dikenal pasti bagi memastikan perjalanan biro tersebut lebih efektif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya