KOTA KINABALU: Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) telah memulakan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi bagi menangani dakwaan salah laku dan pecah amanah membabitkan bekas kakitangan syarikat itu dan pihak luar.
Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu memfailkan tindakan undang-undang tersebut bagi mendapatkan ganti rugi atas penipuan, pelanggaran tugas fidusiari dan kerahsiaan.
Berdasarkan satu kenyataan, SMM memaklumkan tindakan undang-undang itu sebagai tindak balas terhadap pengubahsuaian dokumen rasmi, konspirasi untuk mencederakan dengan cara menyalahi undang-undang dan potensi pakatan sulit dengan pihak ketiga.
Syarikat itu menjelaskan, tindakan berkenaan ditujukan kepada semua bekas pekerja yang terbabit dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMM, Jontih Enggihon @ Jontih Inggihon serta pihak ketiga, Tei Jiann Chieng yang turut dikenali sebagai Albert Tei.
Tindakan yang diambil itu bukan hanya bagi melindungi kepentingan SMM, malah kepentingan kerajaan negeri dan rakyat Sabah. Syarikat itu akan terus mengekalkan piawaian tertinggi tadbir urus korporat dan kekal bertanggungjawab kepada negeri dan rakyat.
Kenyataan itu turut menyentuh tentang laporan salah laku membabitkan bekas CEO SMM, bersama potensi pakatan sulit dengan pihak ketiga yang telah dikemukakan kepada agensi penguatkuasa yang berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Syarikat berkenaan akan kekal komited menegakkan integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan sumber mineral Sabah serta memastikan semua operasi sejajar dengan undang-undang dan piawaian etika.
SMM menjadi perhatian selepas Albert Tei mendedahkan tentang penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam pengurusan lesen perlombongan mineral di Sabah.
Pendedahan melalui rakaman video itu turut mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang telah pun tampil memberi keterangan kepada SPRM. Sehingga kini, SPRM telah merakam keterangan kesemua 18 ADUN yang didakwa terlibat. – UTUSAN