KOTA KINABALU: Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar tidak menuding jari kepada pembangkang dalam isu skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Beliau berkata, tindakan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah yang mendakwa penyebaran video tersebut adalah perbuatan pembangkang adalah satu tuduhan tidak berasas.
“Saya hairan dengan tuduhan tersebut kerana pihak kami telah menafikan sebarang penglibatan dalam penghasilan atau penyebaran video berkenaan. Masiung seperti cuba mengalih perhatian rakyat dengan menuding jari ke arah pembangkang.
“Di dalam semua video yang tular termasuk video membabitkan Masiung sendiri jelas menunjukkan urusan rundingan yang berlaku hanya melibatkan wakil rakyat GRS. Tiada kelibat mana-mana individu daripada pihak pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, sekiranya rakaman video itu tidak benar mengapa sehingga sekarang tiada tindakan saman diambil terhadap pihak yang menyebarkan video tersebut?
Sebaliknya, kata beliau, pemimpin GRS memilih untuk memberikan kenyataan seperti “saya move on dan teruskan kerja”, “video kami disunting”, kenyataan sebegitu hanya menimbulkan lebih banyak persoalan.
“Sebagai wakil rakyat, mereka sepatutnya bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatan sendiri. Jangan hanya berani bertindak, tetapi takut untuk menghadapi akibatnya,” katanya.
Bung Moktar berkata, UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak perlu bermain politik kotor kerana beliau yakin rakyat Sabah tahu apa sebenarnya yang berlaku.
Katanya, kegagalan GRS mengurus tadbir negeri ini bukan lagi satu rahsia tersembunyi sebagai contoh, isu bekalan air bersih yang masih dihadapi rakyat sehingga kini.
Semalam, Masiung menyatakan selepas gagal menjatuhkan kerajaan melalui Langkah Kinabalu, pembangkang cuba menggunakan individu tertentu bagi menjatuhkan imej kerajaan melalui penyebaran video berkaitan ADUN GRS.
Katanya, penyebaran video itu adalah dendam yang telah lama dirancang oleh pemimpin pembangkang di negeri ini. – UTUSAN