Sistem rantaian nilai industri padi, beras distruktur semula - Mohamad Sabu

Sistem rantaian nilai industri padi, beras distruktur semula – Mohamad Sabu

MOHAMAD Sabu melihat buku Garis Panduan Imej Korporat KPKM pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 KPKM di Wisma Tani Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mereformasi industri padi dan beras negara menjadi tumpuan utama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada tahun ini bagi memastikan kelangsungan bekalan padi dan beras tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, reformasi itu juga bertujuan membawa industri berkenaan ke tahap lebih tinggi dengan mengutamakan pendekatan yang lebih lestari, berdaya saing dan mesra alam.

Jelasnya, langkah-langkah yang dilaksanakan secara berperingkat ketika ini adalah dengan mengambil kira pelbagai cabaran dalam rantaian nilai padi dan beras serta keperluan reformasi tadbir urus yang komprehensif.

“Dua sasaran kita yang masih lagi agak jauh untuk dicapai adalah padi beras dan (industri) ruminan. Dua perkara ini lah yang akan menjadi tumpuan utama pada tahun 2025 kerana kita tahu masalah penggunaan beras di Malaysia yang (semakin) meningkat.

“Jadi pengeluaran padi juga harus kita pertingkatkan kerana kita biasa capai pengeluaran beras negara sehingga 71 peratus, tetapi sekarang kira-kira 56 peratus (sahaja).

“Kebelakangan ini pula berlakunya banjir dan musim kemarau berturut-turut sehingga menyebabkan kekurangan hasil, tetapi pelbagai langkah kita telah ambil selain akan terus fokus untuk meningkatkan industri padi dan beras negara ini,” katanya menerusi sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 KPKM di sini hari ini.

Menerus ucapannya, Mohamad berkata, komponen yang perlu dititik beratkan sepanjang rantaian nilai industri padi beras negara termasuk pengukuhan infrastruktur pengairan di kawasan dalam dan luar jelapang padi negara.

Menurutnya, fokus perlu diberikan di dalam perancangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi memastikan ketersediaan pengairan di kawasan-kawasan penanaman padi seluruh negara.

Selain itu, katanya, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan jelapang padi baharu di Sabah dan Sarawak, pembangunan semula sawah-sawah terbiar di seluruh negara dan penstrukturan semula sistem rantaian nilai industri padi dan beras.

Beliau juga akan membawa kertas cadangan ke Kabinet pada tahun ini bagi memastikan kebajikan pesawah, seluruh pemain industri dan rakyat menerima manfaatnya termasuk peranan Bernas dan struktur harga beras. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya