Sistem HS-WIM kesan kesalahan kenderaan berat mula beroperasi suku ketiga 2025

Sistem HS-WIM kesan kesalahan kenderaan berat mula beroperasi suku ketiga 2025

ANTHONY Loke berucap pada Majlis Amanat Tahun Baru 2025 di Dewan Serbaguna MOT Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sistem ‘High Speed – Weigh in Motion’ (HS-WIM) yang kini berada di peringkat akhir pelaksanaan pembangunan dijangka mula beroperasi pada suku ketiga tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Sberkata, pemasangan sistem tersebut akan diperbanyakkan di lokasi-lokasi panas seperti kawasan berisiko tinggi kemalangan dan aliran trafik tinggi.

Menurutnya, sebanyak 10 lokasi di seluruh negara dikenal pasti bagi pemasangan sistem tersebut.

Beliau berkata, sistem HS-WIM merupakan pendekatan baharu untuk memantau pergerakan kenderaan berat yang melebihi had muatan.

Jelasnya, teknologi tersebut menggunakan kamera dan pengesan (sensor) bagi mengenal pasti kenderaan berat yang melalui satu-satu kawasan.

“HS-WIM menggunakan teknologi yang menggunakan kamera, mereka (kenderaan berat) lalu sahaja di satu-satu kawasan itu yang ada pengesan, kita akan tahu sama ada kenderaan itu melebihi had muatan atau tidak dan kenderaan itu akan dirakam kamera.

“Jadi kita akan tahu kenderaan berat itu lalu di sana pukul berapa (atau) berat muatannya berapa. Kalau kenderaan lebih muatan, kita boleh keluarkan saman kepada pemilik kenderaan tersebut.

“Berbanding cara (penguatkuasaan) sekarang ini yang manual, jika kena tahan lori tersebut, perlu bawa lori itu ke stesen penimbang, baru kita dapat tahu sama ada ia melebihi had muatan atau tidak,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan MOT di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, pelaksanaan kamera Automated Awareness Safety System (AWAS) akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah point-to-point, berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini.

Katanya, kaedah baharu ini membolehkan pemantauan kelajuan kenderaan dilakukan secara lebih menyeluruh dengan mengukur kelajuan purata kenderaan di antara dua titik kamera berdasarkan jarak dan masa perjalanan.

“Kita tak nak pemandu memandu perlahan hanya apabila di depan kamera itu sahaja, tetapi dalam satu jarak yang tertentu.

“Sebagai contoh antara titik A dengan titik B, kita nak tahu dia menggunakan masa berapa banyak (untuk sampai). Kalau dia menggunakan kurang daripada masa yang sepatutnya, maksudnya dia memecut dan dia akan dikenakan tindakan (saman),” katanya.

Loke berkata, untuk peringkat permulaan, pelaksanaan kaedah baharu itu akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang berbahaya serta berisiko tinggi seperti kawasan berbukit di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di Genting Sempah, Pahang dan Terowong Menora di Ipoh, Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya