PUTRAJAYA: Sebanyak 231 kes melibatkan isu perpaduan direkodkan sepanjang tahun lalu melalui sistem e-Sepakat termasuk berkait agama, kaum dan raja (3R).
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, jumlah itu merangkumi 103 kes berhubung isu agama, 89 kes kenyataan berbaur kebencian dan 39 kes isu perkauman menerusi sistem itu yang dilaksanakan di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (J-Perpaduan).
“Bagi mengatasi dan menguruskan perkara tersebut, pihak kementerian bekerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.
“Oleh itu, kementerian akan terus memberikan fokus kepada pelaksanaan program utama di kawasan-kawasan hotspot, pengurusan isu perpaduan dan program berteraskan keharmonian,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri Perpaduan Negara Tahun 2025 di sini hari ini.
Sistem e-Sepakat merupakan mekanisme pengurusan isu perpaduan yang dilaksanakan oleh J-Perpaduan bagi pengesanan dan pemantauan isu perpaduan di peringkat akar umbi.
Selain itu, beliau turut memaklumkan sistem e-Sepakat dijangka boleh diakses oleh orang ramai bermula tahun ini bagi menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan yang sebelum ini dikendalikan dalam kalangan Pegawai Perpaduan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, untuk memastikan kesinambungan kestabilan negara, pihaknya akan memperkenalkan konsep Negara Bangsa bagi membentuk masyarakat yang bersatu padu, menghormati perbezaan dan berkongsi identiti sebagai rakyat Malaysia.
“Negara Bangsa adalah satu usaha untuk menyatukan semua perbezaan ini di bawah payung identiti nasional.
“Bagi merealisasikan konsep ini, satu Konvensyen Negara Bangsa Peringkat Kebangsaan akan diadakan,” katanya. – UTUSAN