KUALA LUMPUR: Pembangunan Sistem Alamat Nasional (NAS) dijangka membantu kerajaan untuk melindungi kedaulatan data geospatial negara dengan memastikan data alamat diuruskan secara domestik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, NAS dijalankan di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara untuk merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan negara berteraskan pendigitalan serta peneraju serantau dalam ekonomi digital.
Malah katanya, pelaksanaan sistem NAS juga akan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah tradisional seperti mengenal pasti alamat berdasarkan warna bumbung rumah, nombor tiang elektrik atau tanda perbatuan.
“Kajian pelaksanaan NAS sedang giat dijalankan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kajian ini juga bertujuan membentuk rangka sistem pengalamatan yang berautoritatif, seragam, dan bersepadu di peringkat kebangsaan.
“Apabila siap sepenuhnya, NAS akan menjadi sistem tunggal bagi sumber alamat yang autoritatif dan diiktiraf oleh kerajaan sebagai rujukan utama untuk mengurus lebih 12 juta alamat di seluruh negara, melalui kerjasama erat antara pelbagai pihak berkepentingan,” katanya pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara MCMC dengan Kerajaan Negeri Melaka di sini, hari ini.
Fahmi berkata, kementerian melalui MCMC telah memulakan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), serta pemain industri geospatial tempatan dalam menjayakan NAS.
“Kerjasama ini bertujuan membangunkan perkhidmatan geospatial untuk alamat dan jalan, yang dijangka memberi manfaat besar kepada sektor kurier, logistik, penyampaian awam dan pertahanan negara,” katanya.
Tambahnya, ketiadaan sumber alamat berautoritatif yang diiktiraf oleh kerajaan sebagai rujukan utama menyebabkan data alamat diuruskan secara berasingan oleh pelbagai agensi sehingga membawa kepada kebergantungan kepada teknologi luar.
“Dianggarkan lebih daripada RM700 juta dibelanjakan setiap tahun untuk perkhidmatan geospatial dan navigasi utama dari luar negara.
“Ini telah menyebabkan ketirisan kepada pendapatan negara dan meningkatkan risiko terhadap pengurusan maklumat infrastruktur kritikal negara (NCII) akibat dari ketiadaan sistem alamat yang bersepadu,” katanya. – UTUSAN