REBIU membuka lembaran tahun baharu ini memetik satu nama tidak asing lagi dalam industri muzik negara, yang berperanan menghidupkan lagu-lagu dangdut tempatan sehingga mendapat gelaran “Ratu Gelek 45 Darjah” – Mas Idayu.
Saya amat menanti produk baharunya. Enam tahun masa diambil menerbitkan lagu baharu berjudul Harum Mekar Di Hati (2024) bersama Ajai. Kali terakhir dia tampil dengan single dangdut balada, Dahlia Hati (2019) bernaung di bawah PakNgah Production.
Saya tolak ke tepi lagu beredar awal selepas itu seperti Cari Cinta Di Indonesia dan Santai (Glowrush Dangdut Remix) diterajui Faizal Tahir, memandangkan dia hanya berperanan sebagai penyanyi gandingan.
Oleh kerana masanya banyak diisi sebagai juri pertandingan nyanyian atau showbiz dalam dan luar negara, maka, finalis Bintang HMI 1991 ini tidak lagi bergerak sebagai penyanyi rakaman sepenuh masa.
Saya masih boleh mendengar lagu ini hingga ke penghujungnya, tetapi tidak untuk menghayati suara jenis begini. Tiada bahagian yang istimewa kerana vokal Mas Idayu tidak berevolusi ke arah lebih baik, malah kebanyakannya kedengaran sengau walaupun dia dikatakan masih boleh bernyanyi.
Mas Idayu hanya mampu mengkritik Baby Shima, Wani Kayrie, Sissy Iman, Naim Daniel, Didi Astillah, Thamiera dan seangkatannya.
Tetapi, suaranya sendiri juga tidak sempurna. Sekalipun ada yang menganggapnya sebagai ciri khas Mas Idayu, mungkin rangkaian lagunya di dalam album Cintaku 100% (1996), Dunia Cinta (1997) dan Bolehlah Boleh (1999) jauh lebih baik, kerana baiknya dia membawa lagu-lagu dangdut hits ketika itu.
Saya musykil, apakah komposisi pop rock sebegini masih boleh dijual dalam pasaran? Ajai seolah-olah membawa saya kembali ke zaman 24 tahun lalu ketika era house dangdut Misscall (Ria Amelia).
Dalam saya kurang gemar cara pembawaan dan corak suara di usia emasnya terutama bahagian bernada tinggi, namun, pemenang Album Dangdut Terbaik (Dunia Cinta dan Bolehlah Boleh), Anugerah Industri Muzik (AIM 1998 dan 2000) ini menyimpan bahagian yang ‘sedap’ didengar.
Saya mendengar rakaman bahagian awal Dahlia Hati dan menyaksikan Konsert Dangdut Orkestra RTM 2013 ketika menyanyikan Kerna Pengalaman, di situlah bagaimana dia menyanyi dengan baik, terkawal dan memukau.
Malangnya, diskografi baharu Mas Idayu tidak akan lagi mencetus ulang fenomena Cintaku 100%, Senggol Senggolan, Cubit-Cubitan; Robek Hatiku dan Selangit. Harum Mekar Di Hati pula hanya akan menjadi naskhah kecil yang akan dilupai perlahan-lahan.
Namun, saya tetap berbangga kerana Mas Idayu cekal dan menjadi dirinya sendiri walau apa pun kecaman orang lain terhadapnya.