PETALING JAYA: Polis mengesan modus operandi licik sindiket penipuan yang menggunakan dokumen amaran palsu lengkap dengan Jata Negara, logo Badan Peguam Malaysia dan nama hampir menyerupai Ketua Polis Negara, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, polis kini menyiasat kes tersebut selepas menerima satu laporan pada 14 Januari lalu.
Menurutnya, dokumen berkenaan bertajuk ‘Kebenaran’ kononnya dikeluarkan oleh ‘Pejabat Pusat Memerangi Jenayah Berkaitan Teknologi Maklumat dan Komunikasi’.
“Kandungan dokumen palsu itu mendakwa penerimanya terlibat dalam prosiding undang-undang berkaitan pemilikan imej pornografi kanak-kanak.
“Malah, penerima diminta menghubungi pihak yang dikatakan mengeluarkan dokumen tersebut dengan segera atau menghadapi risiko waran tangkap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramli menjelaskan, dokumen palsu itu turut memaparkan nama yang hampir sama dengan Ketua Polis Negara tetapi menggunakan jawatan berbeza, sekali gus membuktikan ia bertujuan menipu.
“Semua maklumat di dalam dokumen tersebut termasuk prosiding jenayah, jabatan yang dirujuk serta nama penandatangan adalah tidak sah.
“Dokumen seumpama itu bukan dikeluarkan oleh mana-mana agensi kerajaan,” tegasnya.
Menurutnya, sehubungan itu, siasatan di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan sedang dijalankan.
“Polis menyarankan orang ramai agar tidak melayan dokumen seumpama itu sama ada diterima secara fizikal, emel, WhatsApp atau melalui platform lain kerana ia adalah palsu.
“Polis percaya dokumen itu sengaja dicipta untuk menimbulkan ketakutan kepada penerima sebelum menjadikan mereka mangsa penipuan atau pemerasan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa individu yang mungkin telah menjadi mangsa akibat mempercayai dokumen tersebut supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan lanjut. – UTUSAN