Sindiket terima lebih RM3,000 masuk negara melalui jalan laut tumpas

Sindiket terima lebih RM3,000 masuk negara melalui jalan laut tumpas

KESEMUA migran ditahan menerusi Op Pintas yang dibawa masuk ke negara ini menggunakan laluan laut yang tidak diwartakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran yang mengenakan bayaran sehingga RM3,200 untuk setiap orang bagi membawa masuk dan keluar dari negara ini menggunakan laluan laut tidak sah.

Kejayaan itu hasil operasi khas yang dilaksanakan oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada Selasa.

Dalam Operasi Pintas itu, polis mensasarkan sebuah rumah transit sindiket di Bandar Mahkota Cheras, Selangor.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 9 malam itu berjaya menahan seramai 27 individu, termasuk 20 warga Indonesia dan tujuh warga Myanmar.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 14 lelaki dan enam wanita warga Indonesia serta lima lelaki dan dua wanita warga Myanmar, berusia antara 21 dan 54 tahun.

“Antara yang ditahan adalah tiga suspek utama iaitu seorang wanita warga Indonesia yang bertindak sebagai penjaga rumah transit dan dua lelaki warganegara sama yang berperanan sebagai pembantu penjaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sindiket itu menyediakan tempat tinggal sementara dan makanan kepada migran sebelum mereka dibawa masuk atau keluar dari negara ini melalui jalan laut di Banting, Selangor. 

“Caj yang dikenakan kepada migran yang dibawa masuk bermula antara RM1,500 hingga RM3,200 seorang.

“Rumah transit itu didapati disewa oleh sindiket dengan caj RM30 sehari bagi setiap migran yang menginap di situ,” katanya.

Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati migran terbabit menggunakan laluan laut yang tidak diwartakan untuk keluar dan masuk ke Malaysia.

“Kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya