Sindiket sasar motosikal lama, jual ke kawasan Felda

Sindiket sasar motosikal lama, jual ke kawasan Felda

M. KUMURASAN (tengah) menunjukkan motorsikal curi yang dirampas daripada tiga lelaki dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, Johor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Satu sindiket aktif di sekitar daerah ini dengan menyasarkan motosikal yang rosak dan lama ditinggalkan pemiliknya kemudian dibaiki dan dijual semula di kawasan tanah rancangan Felda ditumpaskan.

Ia selepas tiga ahli sindiket itu berjaya diberkas dalam Op Lejang, 4 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, tiga suspek berusia antara 20 hingga 38 tahun itu akan mencari motosikal terbiar sebelum mengangkut kenderaan itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

“Motosikal itu akan dibaiki untuk dijual semula di kawasan-kawasan Felda, khususnya di Kota Tinggi.

“Dalam serbuan itu, kami berjaya merampas sebuah kereta, 19  motosikal dan empat enjin motosikal. Ketiga-tiga suspek juga telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 379A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya pada akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan, pihaknya berjaya menyelesaikan satu kes pecah rumah dan curi kereta dalam tempoh kurang 24 jam.

Jelasnya, pada 5 Januari lalu, pihaknya menerima aduan pengadu memaklumkan rumahnya di Bandar Selesa Jaya, Skudai di sini telah diselongkar dan keretanya dicuri ketika dia sedang tidur.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang memiliki 18 rekod jenayah lampau berserta kesalahan berkaitan dadah.

“Polis turut merampas sebuah kereta Perodua Alza, lima beg silang, tiga telefon bimbit, lapan kad bank, sebilah pisau, barang kemas serta wang tunai,” katanya.

Ujian urin turut mendapati suspek positif dadah dan kini direman hingga 17 Januari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya