Sindiket edar dadah guna bungkusan teh cina dipatahkan, lelaki Indonesia ditahan

Sindiket edar dadah guna bungkusan teh cina dipatahkan, lelaki Indonesia ditahan

DADAH yang dirampas dalam satu operasi khas dilakukan di kawasan Sungai Rengit di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Taktik sindiket menggunakan bungkusan teh cina untuk pengedaran dadah berjaya dipatahkan pihak polis dalam satu operasi khas dilakukan di kawasan Sungai Rengit di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata,ekoran serbuan itu dadah lebih RM158,772 telah berjaya dirampas dan menahan seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 31 tahun.

Katanya, modus operandi kegiatan sindiket pengedaran dadah ini menggunakan bungkusan teh cina bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa. 

“Pasukan Polis Marin bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Tinggi telah melancarkan operasi khas melibatkan satu serbuan di sekitar kawasan Sungai Rengit kira-kira pukul 2.45 pagi.

“Dalam serbuan tersebut seorang lelaki warganegara Indonesia telah berjaya ditangkap bersama sejumlah rampasan dadah. Hasil saringan awal ujian air kencing mendapati suspek negatif sebarang jenis dadah dan tidak mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah narkotik,” katanya di sini.

Katanya, dalam operasi itu pihak polis telah berjaya membuat rampasan dadah anggaran berat lebih kurang 2,267 gram serbuk ketulan kristal disyaki methmaphetamine bernilai RM72,544.

“Turut dirampas 776 gram serbuk putih disyaki ketamin bernilai RM38,800, 284 gram serbuk disyaki ekstasi bernilai RM47,428 dimana jumlah nilai rampasan dadah adalah RM158,772.

“Dadah yang dirampas dalam operasi ini boleh digunakan oleh seramai 16,161 orang penagih. “Antara rampasan lain adalah passport Indonesia atas nama suspek dan pihak polis juga telah menyita wang tunai ringgit Malaysia berjumlah RM100,” katanya.

Tambahnya suspek telah direman selama tujuh hari bermula 22 Januari hingga 28 Januari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Yusof memaklumkan bermula 1 Januari sehingga 22 Januari 2025 Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Tinggi telah berjaya membuat tangkapan seramai  86 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 3.39 kilogram dengan nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah bernilai RM161,552. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya