PETALING JAYA: Kegiatan sindiket penyeludupan minuman keras tanpa cukai di sekitar bandar Sibu, Sarawak berjaya dipatahkan selepas polis menyerbu dua premis dalam Op Taring Alpha 2 pada Isnin lalu.
Dalam operasi itu, sebanyak 17,000 karton arak seludup dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM15.15 juta, manakala dua lelaki berusia 32 dan 41 tahun turut diberkas bagi membantu siasatan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan itu turut menyaksikan rampasan dua jentera berat, tiga lori dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan sindiket bagi mengedar barangan seludup.
“Tangkapan serta rampasan tersebut dipercayai berjaya menumpaskan rangkaian sindiket yang aktif menjalankan penyeludupan, pengedaran dan penjualan arak tidak berkastam di kawasan Sibu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan berkaitan, Azmi mendedahkan bahawa sejak 1 Januari lalu hingga hari ini, sebanyak 41 serbuan telah dijalankan di seluruh negara dengan 44 individu diberkas atas pelbagai kesalahan berkaitan penyeludupan.
“Kesalahan yang dikesan termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta penjualan senjata tiruan.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan sepanjang tempoh itu dianggarkan mencecah RM175,937,546,” katanya. – UTUSAN