MUAR: Seorang warga emas kerugian sebanyak RM89,000 ditipu pegawai ‘polis’ dan pegawai ‘mahkamah’ baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pesara swasta berusia 60 tahun itu menyatakan telah menerima panggilan dari sebuah syarikat insurans menyatakan mangsa mempunyai tuntutan polisi insurans.
“Mangsa menafikan dan diminta membuat laporan polis seterusnya disambungkan kepada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan dia dimaklumkan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
“Selepas itu, mangsa menerima WhatsApp daripada seorang wanita memperkenalkan diri pegawai mahkamah yang boleh membantu mangsa menyelesaikan kes. Pada 4 Disember lalu, mangsa diminta pergi ke sebuah bank di Muar untuk menukar
maklumat perbankan online menerusi mesin ATM dan meminta mangsa memindahkan semua wang simpanannya berjumlah RM89,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 11 Disember lalu, mangsa dimaklumkan perlu membayar wang jaminan sebanyak RM38,000.
“Mangsa berasa curiga dan terus menyemak akaun bank miliknya dan mendapati akaun bank miliknya hanya berbaki sebanyak RM98.67.
“Mangsa percaya telah ditipu dan membuat laporan polis semalam. Wang mangsa adalah hasil simpanannya dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP),” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.-UTUSAN