KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan sijil nikah anak seorang menteri Kabinet adalah sah selepas mereka didapati berkahwin di negara jiran, September lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia berdasarkan hasil semakan terhadap sijil nikah itu dari negara jiran yang kemudian didapati sah.
Katanya, mereka sebenarnya menyorokkan perkahwinan yang berlaku pada September tahun lalu dan rakannya sendiri tidak mengetahuinya.
“Hasil siasatan mereka ini bercinta dan ingin berkahwin namun mungkin ada halangan.
“Apabila jadi isu macam ini kawan-kawan mereka pun tidak tahu, jadi mereka tidak mahu memperbesarkan kerana takut keluarga terasa hati,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Pegawai Polis yang Bersifat Mulia dan Budiman di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurutnya, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) di Pulau Pinang selain masih menunggu arahan selanjutnya.
Media sebelum ini melaporkan polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri Kabinet seperti tular di media sosial.
Siasatan kes itu sudah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada 6 Januari lalu, untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Sebelum ini, tular dalam laman sosial aplikasi Telegram kes membabitkan anak seorang menteri, yang dilaporkan mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab atas kandungan sejak tujuh minggu lalu.
Kejadian ugutan itu dilaporkan berlaku ketika anak menteri terbabit sedang berbincang bersama wanita itu dan beberapa saksi lain di sebuah rumah di Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang pada 24 Disember 2024.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Menteri itu juga dilapor berkata, anaknya tidak mengatasi undang-undang dan sekiranya ada laporan terhadapnya, dan polis bertanggungjawab untuk melakukan siasatan dengan telus dan seadilnya.
Menurutnya, merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, kertas siasatan berhubung kes itu sudah dilengkapkan dan diserahkan kepada Peguam Negara. – UTUSAN