Siasatan telus dakwaan warga Indonesia mati ditembak - PM - Utusan Malaysia

Siasatan telus dakwaan warga Indonesia mati ditembak – PM

ANWAR Ibrahim (tengah) menggaul yee sang pada Majlis Jamuan Teh Tahun Baru Cina bersama rakyat Kanthan Baru di SJK(C) Chong Hwa Kanthan Baru, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Malaysia beri jaminan akan menjalankan siasatan telus berhubung dakwaan seorang warga Indonesia terbunuh ditembak oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam kejadian pada 24 Januari lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan akan dibuat sebaik-baiknya supaya tidak menggugat hubungan sahabat antara Malaysia dan Indonesia.

“Saya beri jaminan, siasatan kita akan cukup rapi dan telus dengan tidak cuba melindungi sesiapa. Saya telah minta laporan siasatan awal disampaikan kepada kedutaan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Jamuan Teh Rakyat Bersama Perdana Menteri sempena Tahun Baru Cina di sini hari ini.

Hari ini dilaporkan sekumpulan penunjuk perasaan membaling telur ke arah bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sebagai protes terhadap tindakan pihak berkuasa Malaysia dalam kejadian yang didakwa berlaku berhampiran Pantai Tanjung Rhu, Selangor.

Dilaporkan, kejadian itu berlaku pada pukul 3 pagi dengan lelaki terbabit didakwa menggunakan bot untuk merempuh bot peronda APMM dan membuat provokasi menyerang sekali gus menyebabkan tembakan dilepaskan bagi mempertahankan diri.

Anwar pada masa sama berkata, agensi penguatkuasa Malaysia sentiasa tegas dalam mendepani pelbagai ancaman di pintu sempadan negara seperti sindiket penyeludupan manusia, dadah dan barangan haram.

“Oleh demikian saya harap kedua-dua pihak sepertimana disuarakan oleh Presiden Indonesia dan saya, ikut jalur hukum (perundangan). Jangan ikut kemarahan melulu kerana ini akan menjejas hubungan baik di antara kita.

“Saya bincang dengan Ketua Polis Negara, disampaikan juga kepada Menteri Dalam Negeri supaya perkara ini diteliti agar hubungan kita dengan Indonesia kekal baik,” katanya.

Beliau juga berharap tiada tindakan balas daripada rakyat Malaysia rentetan kejadian ini berdasarkan maklumat yang tidak bertanggungjawab serta tanpa fakta. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya