IPOH: Pegawai penyiasat kes bunuh pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, mengakui bahawa beliau tidak melakukan sebarang siasatan pada hari kejadian perlanggaran berlaku pada 15 Disember 2023.
Ini kerana, siasatan di lokasi dan temubual saksi mata yang juga saksi kanak-kanak telah dilakukan oleh dua pegawai penyiasat awal sebelum Asisten Superintenden S. Dasarathan mengambil alih siasatan kes berkenaan, empat hari selepas kejadian itu.
Untuk rekod, siasatan kes bunuh itu pada awalnya disiasat mengikut kesalahan lalu lintas dan kertas siasatan terlebih dahulu dibuka oleh Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Jong Pit Chao.
Bagaimanapun, setelah penelitian dilakukan, kertas siasatan itu diambil alih oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ipoh dengan siasatan dikendalikan Asisten Superintenden Chua Sze Chuan sebelum diambil alih oleh Dasarathan.
Menurut saksi pendakwaan ke-33 itu, beliau juga tidak memeriksa keadaan mangsa yang telah empat hari meninggal dunia sebelum diarahkan mengambil alih siasatan.
Malah, beliau juga tidak terlibat dalam mengumpul bukti fizikal di lokasi kejadian selain tidak mewawancara pengadu yang membuat laporan maklumat pertama.
“Saya telah dapat arahan untuk mengambil alih siasatan pada 18 Disember 2023 dan mula menjalankan siasatan pada 19 Disember.
“Kejadian (perlanggaran) adalah pada 15 Disember dan pegawai penyiasat asal iaitu Inspektor Jong Pit Chao telah ke lokasi untuk menjalankan siasatan di tempat kejadian,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya Afzainizam, saksi menjelaskan beliau hanya ke lokasi kejadian selepas 19 Disember iaitu selepas diarahkan untuk mengambil alih siasatan daripada Pit Chao dan Sze Yuan.
Tambahnya, ketika diarahkan untuk mengambil alih siasatan, pada pemahamannya ialah, dia diarahkan untuk membuat siasatan lanjut dan bukannya siasatan semula.
Selain itu, beliau ke lokasi bagi melihat sendiri tempat perlanggaran itu sambil merujuk kepada laporan yang telah diserahkan kepadanya bagi membolehkan dia membuat rekonstruksi.
Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan menutup kes itu selepas saksi terakhir iaitu Dasarathan selesai memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet.
Sehingga hari ini, seramai 33 saksi pendakwaan telah memberi keterangan termasuk kakak dan bapa kandung Muhammad Zaharif Affendi.
Turut dipanggil memberi keterangan ialah tujuh saksi kanak-kanak yang memberi keterangan secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Nazri, 46, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi.
Perbuatan tertuduh itu dilakukan di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023. – UTUSAN