Siasat, hapuskan bengkel sewa komponen kenderaan

Siasat, hapuskan bengkel sewa komponen kenderaan

ANGGOTA JPJ menjalankan pemeriksaan terhadap lori dalam Op Mengejut Puspakom di Puspakom Wangsa Maju.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua bengkel yang menawarkan perkidmatan penyewaan komponen kendaraan bagi tujuan lulus pemeriksaan perlu dibanteras sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Mahmood Razak Bahman berkata, pihaknya memberi sokongan terhadap usaha Jabatan Pengangkutan Jalana (JPJ) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menangani kes tersebut.

Kata beliau, pemeriksaan dan pemantauan terhadap bengkel-bengkel berkenaan mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa di atas jalan raya Malaysia.

“Operasi ini wajar disokong oleh semua rakyat Malaysia, termasuk pemilik kenderaan perdagangan, bagi memastikan keselamatan bersama di jalan raya.

“Kami berharap tindakan JPJ dan KPDN dapat menghapuskan bengkel-bengkel yang menjalankan perniagaan tidak bertanggungjawab ini,” katanya di dalam satu kenyataan media.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan sindiket menyewakan tayar kepada pengusaha-pengusaha kenderaan be­rat seperti lori dan bas bagi membolehkan mereka lulus pemeriksaan Puspakom semakin berleluasa.

Sindiket tersebut mempero­leh keuntungan dengan menyewakan tayar kepada pengusaha de­ngan anggaran harga dari RM100 hingga RM300 untuk sa­tu tayar, bagi membolehkan pe­mandu membawa kenderaan berat itu ke pemeriksaan Puspakom.

Perkara ini secara langsung membahayakan pengguna dan lebih 30 juta kenderaan lain yang turut berada di lebuh raya bersama-sama dengan kenderaan berat yang menipu ujian pemeriksaan Puspakom.

Susulan laporan akhbar ini, JPJ melaksanakan pemeriksaan mengejut melibatkan 25 premis Puspakom di seluruh negara.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak 29 kenderaan dikenakan tindakan penguatkuasaan manakala 69 notis telah dikeluarkan membabitkan kesalahan antaranya penggunaan tayar celup dan lain-lain.

Dalam pada itu, Mahmood berkata, tayar sebuah lori yang tercabut sehingga mengakibatkan nahas tujuh maut di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Ayer Keroh dipercayai berpunca daripada kerosakan pada hujung gandar hadapan kenderaan terbabit.

Katanya, kenderaan berjenama Foton itu sudah melakukan pemeriksaan awalan pada 28 Mac lalu dan tarikh pemeriksaan selanjutnya pada 28 Mac ini.

Kata beliau, penemuan tersebut merupakan peringatan penting kepada pemilik kenderaan perdagangan untuk memastikan kenderaan mereka diselenggara dengan baik dan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Penyelenggaraan secara berkala bukan sahaja penting untuk keselamatan pemandu tetapi juga bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.

“Puspakom turut komited untuk meneliti dan memperketatkan tatacara operasi kami bagi memastikan setiap kenderaan yang diperiksa memenuhi piawaian keselamatan yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya