SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Pejabat Tanah Galian (PTG) untuk menyiasat berhubung dakwaan penemuan emas di sebuah kawasan di Lenggeng seperti tular di media sosial.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau sebelum ini telah diberikan taklimat mengenai kerja-kerja membaiki hakisan tanah di kawasan tersebut namun sekiranya terdapat emas di kawasan tersebut, perkara tersebut perlu disiasat dan dilihat lebih lanjut kerana sumber itu berpotensi dijadikan pendapatan negeri yang baharu.
“Saya ucap terima kasih kepada pemberi maklumat kerana beritahu ada emas di situ. Setahu saya yang menjalankan kerja-kerja di situ adalah syarikat yang mempunyai tanah di situ yang mana tanah telah terhakis.. pengusaha pasir tanah milik dia.
“Jika benar ada emas saya telah mengarahkan JMG untuk turun melihat dan sekiranya betul perlu dikeluarkan lesen melombong emas. Daripada itu ia dapat menambah hasil negeri,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Terdahulu, tular video di TikTok berkenaan dakwaan kononnya berlaku aktiviti melombong emas di sebuah kawasan di Lenggeng di sini.
Pada masa sama, Aminuddin menepis tohmahan yang dilemparkan menerusi video berkenaan kononnya syarikat terbabit dalam aktiviti perlombongan emas itu adalah syarikat proksi miliknya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin.
“Saya minta orang yang membuat tohmahan tersebut bertaubatlah sebab isu yang timbul ini baru nak dijalankan siasatan.
“Sekiranya ada kawasan lombong emas lain yang dikenal pasti bolehlah diberitahu, senang hendak buat aktiviti perlombongan emas baharu di seluruh Negeri Sembilan.
“Kalau ada emas, kita akan keluarkan lesen melombong tetapi bukan lombong pasir lagi, sebabnya tidak lagi mendatangkan untung, kita buat emas pula,” katanya secara berseloroh.
Aminuddin berkata, pada tahun lepas terdapat satu permohonan lesen melombong emas di Gemas, Tampin namun kerja-kerja melombong di situ belum lagi dilaksanakan.
“Pada tahun lepas satu lesen melombong telah dikeluarkan di Gemas, itu pun belum bermula. Mereka sebelum ini ada buat penjelajahan dan kemudian memaklumkan kawasan itu ada emas, dan mereka mohon lesen melombong dan kita bagilah,” katanya. – UTUSAN