KITA tidak boleh menidakkan bakat luar biasa penyanyi, Shila Amzah dalam menulis dan mencipta lagu.
Kebolehan kurniaan Tuhan itu menjadikan penyanyi berusia 34 tahun ini buruan ramai penyanyi yang menyimpan hasrat untuk mendapatkan lagu darinya.
Namun, di sebalik kehebatan berkarya, Nurshahila Amir Amzah juga manusia lemah yang berdepan pelbagai ujian.
Dia mengakui beberapa kali mengalami ketandusan idea dan berdepan kebuntuan dalam menentukan arah tuju kerjaya seni dan untuk memastikan dia kekal relevan.
“Banyak kali juga saya mengalami ketandusan idea dalam berkarya. Tambah lagi dalam trend muzik sekarang terlalu cepat berubah.
“Sebab itu, ada satu fasa itu, saya lebih cenderung membuat lagu untuk penyanyi lain, bukan untuk diri sendiri,” katanya.
Kata ibu dua cahaya mata ini, dia bersyukur kerana suaminya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli banyak menasihatkan dan menyedarkan agar dia berpijak di bumi yang nyata.
“Ubai asalnya adalah peminat saya. Saya bersyukur juga, sebab dia banyak mengingatkan saya tentang muzik dan karya saya.
“Ubai pernah bertanya kenapa saya agak lama tak tulis lagu dan nyanyikan sendiri. Sambil itu dia nasihatkan supaya saya tidak terikut-ikut trend atau terpengaruh dengan muzik penyanyi lain.
“Ada benarnya perkara itu. Saya ada cara tersendiri dalam menghasilkan lagu, itu yang sepatutnya saya sajikan kepada pendengar.
“Masalahnya saya ini mudah terikut-ikut dengan trend semasa, adakalanya tidak tetap pendirian,” ujarnya.
Selepas melalui fasa-fasa tersebut, Shila kini lebih bersemangat dan kembali yakin untuk menyajikan karya terbaik buat peminat yang sekian lama menantikan buah tangan baharu dari penyanyi ini.
“Insha-Allah, 2025 akan menjadi tahun istimewa untuk saya kerana ia melengkapkan perjalanan 25 tahun saya dalam dunia muzik tanah air.
“25 tahun adalah perjalanan yang mematangkan. Saya lalui fasa perubahan muzik sejak sebelum dan selepas era digital.
“Jika diizinkan Allah, saya akan muncul dengan album baharu yang mungkin mengandungi 13 lagu. Lagu pertama, yang saya tulis ketika berpantang selepas melahirkan anak kedua, sudah pun siap sepenuhnya. Tinggal lagi menunggu masa sesuai untuk penggambaran klip videonya.
“Sekarang saya temukan semula sisi muzik saya yang sebelum ini, hilang. Tidak lagi saya berdepan ketidaktentuan dalam berkarya. Album ini nanti akan menjadi rangkuman pengalaman saya sebagai Shila Amzah,” jelasnya.
SEMAKIN MENGUKUH DI CHINA
2025 juga akan menjadi tahun paling sibuk buat Shila. Dalam menyusun atur perancangan di Malaysia, Shila juga mencipta banyak peluang di China.
“Atas permintaan, saya akan terbitkan album berbahasa Mandarin untuk peminat di China.
Istimewanya album ini adalah membabitkan kerjasama dengan artis dari sana.
“Ia masih dalam peringkat perbincangan dan akan saya kongsikan apabila semuanya sudah ditetapkan kelak.
“Saya juga merancang untuk melakukan konsert di China. Ini juga hasrat peminat di sana. Tetapi sebelum ke arah itu, saya kena siapkan album terlebih dahulu,” jelasnya.