NEW DELHI: Penolakan aktor ternama, Shah Rukh Khan, terhadap tawaran membintangi filem komedi seram, Chamunda, bukan disebabkan beliau enggan bergandingan dengan pelakon, Alia Bhatt.
Sumber, yang dipetik Arya News, menjelaskan sebaliknya pelakon berusia 59 itu mengambil keputusan berkenaan kerana beliau tidak mahu terlibat dalam filem yang telah dihasilkan sebelum ini.
“Beliau menginginkan sebuah filem yang berlainan, bukan yang pernah dihasilkan dan sudah popular.
“Justeru, aktor tersebut meminta pengarah, Maddock dan Amar Kaushik datang menemuinya semula selepas ini dengan idea yang lebih segar,” kata sumber.
Menurut sumber itu lagi, dua pengarah tersebut tidak berputus asa malah masih menyimpan harapan untuk bekerjasama dengan aktor berkenaan.
“Maddock dan Amar berharap dapat bekerjasama dengan Shah Rukh Khan menerusi filem baharu yang dihasilkan dengan idea yang lebih segar di masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, khabar angin bertebaran kononnya pelakon yang diangkat sebagai bintang Bollywood paling berpengaruh itu enggan digandingkan dengan Alia dalam filem tersebut.
Chamunda, yang merupakan filem kelapan dalam raangkaian filem komedi seram itu dijadualkan menemui penonton sekitar Disember, 2026.