SHAH ALAM: Pelakon dan pengacara, Erra Fazira, menjelaskan hubungannya dengan Ezwan Zain masih dalam fasa awal dan sedang mengenali jejaka tersebut dengan lebih dekat.
Bagaimanapun, Erra atau Fazira Wan Chek, 50, enggan terlalu terbuka bercerita mengenai lelaki yang dikaitkan dengannya itu demi menjaga privasi kedua-dua pihak.
“Setakat ini saya masih kekalkan cara saya, tidaklah terlalu terbuka dan tidak juga sampai mengongkong diri saya.
“Saya baru mengenali dia. Sekurang-kurangnya saya ada teman bicara,” katanya yang ditemui di Kenduri Seeni by Borak Seeni di Shah Alam, semalam.
Menjelaskan mengenai khabar angin tentang kejutan pada 7 Februari nanti, pelakon Kuliah Cinta itu hairan bagaimana spekulasi tersebut boleh tercetus.
“Kita tenang-tenang saja, tapi tiba-tiba dijentik dengan perkara itu. Saya tak tahu apa-apa berkenaan 7 Februari.
“Saya tidak tahu macam mana boleh timbul khabar angin seperti itu, mungkinkah tarikh itu hampir dengan hari lahir saya. Mereka buat sepkulasi sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Erra berterima kasih kepada peminat yang menyokong dan menantikan berita baik daripadanya.
“Di usia ini saya rasa sudah matang, agak mustahil untuk menyembunyikan sesuatu yang baik.
“Tiada perbincangan lanjut dengan keluarga berhubung perkara ini kerana ia masih diperingkat awal.
“Saya mohon doa daripada semua kerana saya pun tidak tahu hala tuju hubungan ini tapi apa saja yang terbaik Allah aturkan saya terima dengan reda,” tambahnya.
Terdahulu, Erra mencuri perhatian apabila memuat naik sekeping foto di Instagram dengan ucapan istimewa kepada jejaka berkenaan. -UTUSAN