DUNGUN: Laluan di Kilometer 64 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Rantau Abang di sini, mengalami gangguan apabila sebuah lori dan kren terlibat dalam kemalangan petang ini.
Kemalangan kira-kira pukul 5.30 petang itu turut menyebabkan lalu lintas sesak kira-kira satu kilometer daan lebih satu jam selepas kontena lori muatan makanan ringan itu merentang jalan.
Difahamkan, kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki maut. Bagaimanapun, identiti mangsa dan punca kejadian masih dikenal pasti.
Kesesakan trafik mulai pulih kira-kira pukul 6.40 petang selepas kontena itu dialihkan menggunakan jentolak dan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan di atas jalan turut dilakukan pasukan bomba dan penyelamat. – UTUSAN