Separuh jiwa saya hilang - Ibu mangsa tragedi tanah runtuh Ajil

Separuh jiwa saya hilang – Ibu mangsa tragedi tanah runtuh Ajil

RUZIAH Fuad (kanan) sewaktu menerima kunjungan daripada Azamn Abidin di rumah sewanya di Kampung Bukit Apit, Ajil , Hulu Terengganu, hari ini . - UTUSAN / NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: “Separuh jiwa dan diri saya bagaikan hilang sejak kehilangan mereka.”

Itu luahan ibu kepada dua beradik yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, di sini November tahun lalu.

Ruziah Fuad, 47, berkata,  walaupun hampir dua bulan tragedi tersebut berlaku, sehingga kini dia belum mampu meneruskan hidup seperti biasa termasuk tidak mengambil tempahan kuih-muih serta berniaga pisang goreng.

Katanya, setiap minggu dia tidak ketinggalan lepaskan rindu ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Panggong menziarahi pusara Puteri Sajidah, 16, Siti Fatimah, 13, serta suaminya, Azman Ab. Latib yang meninggal dunia akibat strok otak pada 2019.

“Hati ibu mana tidak sedih kehilangan dua anak serentak namun kehidupan perlu diteruskan. Mahu atau tidak saya terpaksa kuatkan diri, berdamai dengan takdir demi anak-anak lain.

“Sejak tragedi itu, saya bersama empat anak yang berusia  antara 11 tahun hingga 23 tahun tinggal di rumah sewa  dibiayai  Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bagi tempoh setahun. Anak sulung telah berkahwin dan tinggal berasingan di kampung ini juga.

“Sekitar dua bulan sebelum kejadian, saya  berniaga pisang goreng di Kampung Bukit Perah. Kedua-dua arwah banyak membantu, jaga tempat jualan apabila saya pulang rehat di rumah. Namun sehingga sekarang saya belum dapat berniaga semula,” katanya.

Ruziah berkongsi cerita  sewaktu menerima kunjungan daripada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin di rumah sewanya di Kampung Bukit Apit, Ajil, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Puteri Sajidah Azman dan Siti Fatimah maut dalam kejadian tanah runtuh dekat Kampung Bukit Apit kira-kira pukul 4.30 petang pada 29 November lalu. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya