ALOR SETAR: Sebuah lagi Karya agung: Seorang Tua di Kaki Gunung tulisan novelis prolifik berasal dari Kedah, Azizi Haji Abdullah diterjemah ke pentas teater dalam usaha memartabatkan program seni dan budaya.
Lebih menarik, buat kali pertama karya seumpama itu dipentaskan di Kedah sekali gus mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan peminat teater negeri ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, sambutan diterima menggambarkan minat dan sokongan penggemar seni budaya negara ini terhadap karya agung.
“Ini siri pementasan teater karya agung yang dianjurkan oleh JKKN dan kita lihat produksi yang dilahirkan kali ini menggambarkan minat dan sokongan yang diberikan oleh khalayak khususnya terhadap pementasan teater.
“Kebanyakan teater yang dipentaskan pada 2024 adalah karya Sasterawan Negara dan Seniman Negara. Kali ini kita dapat bawa karya Seorang Tua di Kaki Gunung. Kita lihat sokongan yang diberikan penggiat teater dan khalayak yang berada di Kedah untuk terus menyokong dan memartabatkan pementasan teater khusus untuk generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Semarak Karya Agung: Pementasan Teater Seorang Tua Di Kaki Gunung di Auditorium JKKN Kedah di sini, semalam.
Pementasan teater yang berlangsung pada 3 dan 4 Januari itu menampilkan gandingan hebat pelakon tersohor, Datuk Jalaluddin Hassan dan pengarah teater terkenal yang juga pensyarah, Dr. Norzizi Zulkifli di samping bakat negeri ini. – UTUSAN