KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera dalam insiden tembakan di perairan berhampiran Pantai Morib, Kuala Langat, awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, identiti individu yang terbunuh masih belum dikenal pasti, manakala empat mangsa lain dipercayai warga Indonesia.
“Mangsa terdiri daripada lima lelaki, di mana seorang disahkan maut di lokasi kejadian, manakala empat lagi mengalami kecederaan.
“Salah seorang daripada mereka telah dihantar ke Hospital Klang untuk rawatan lanjut, manakala tiga lagi sedang dirawat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, pihak polis melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan IPD Sepang kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Sementara itu, difahamkan bahawa bot yang dinaiki lelaki terbunuh itu ditemukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika rondaan di perairan Morib.
Selain lelaki yang dipercayai warga Indonesia itu, pasukan peronda turut menemukan seorang lagi mangsa cedera dalam bot berkenaan sebelum menunda bot itu ke Pulau Carey untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, tiga lagi lelaki yang turut cedera dalam kejadian itu sempat berenang ke pantai sejurus selepas insiden tembakan berlaku.
Dalam perkembangan berkaitan, Hospital Sultan Idris Shah pagi tadi menerima tiga lelaki yang mengalami kecederaan dipercayai akibat tembakan.
Menurut sumber, ketiga-tiga mereka dihantar ke unit kecemasan hospital berkenaan kira-kira pukul 7.30 pagi dengan menaiki sebuah kereta Toyota Vios.
“Dua daripada mereka dalam keadaan basah, manakala seorang lagi hanya memakai seluar pendek.
“Ketika tiba, mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah dan memberikan keterangan bercanggah mengenai kecederaan yang dialami,” katanya.
Pemeriksaan bagaimanapun mengesahkan kecederaan mereka berpunca daripada tembakan, menyebabkan pihak hospital segera membuat laporan polis berhubung kehadiran pesakit mencurigakan itu.
Polis kini sedang menyiasat motif kejadian dan tidak menolak kemungkinan wujud elemen jenayah dalam insiden berkenaan. – UTUSAN