Semua pihak perlu hormati kuasa prerogatif Agong - Utusan Malaysia

Semua pihak perlu hormati kuasa prerogatif Agong

M. KULASEGARAN (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di kawasan Fair Park di Arena Kepayang Putra, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Semua pihak diminta menghormati kuasa prerogatif Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memberi pengampunan dan pengurangan hukuman banduan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, kenyataan dikeluarkan Istana Negara hari ini jelas memperincikan bidang kuasa baginda yang tertakluk di bawah lunas undang-undang.

“Saya harap masyarakat hormat bidang kuasa Agong, tambahan lagi dari segi undang-undang ia selaras dengan peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan. Jika ada apa-apa rayuan, ikut lunas yang disediakan.

“Kenyataan itu juga sangat jelas. Suka atau tidak itulah undang-undang yang kita perlu hormati selari dengan prinsip Rukun Negara.

“Saya harap orang ramai dapat terima titah itu kerana Yang di-Pertuan Agong adalah yang terakhir sekali membuat keputusan, bukan saya atau orang ramai,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan Fair Park, di sini hari ini.

Terdahulu, Istana Negara melalui kenyataannya berkata, permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh individu berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut kenyataan itu, Seri Paduka mempunyai kuasa prerogatif di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sebelum ini, isu pengampunan banduan mencetus perdebatan susulan kes membabitkan Datuk Seri Najib Razak dalam perkara berkaitan Titah Adendum untuk membolehkan bekas Perdana Menteri itu menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September tahun sama.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, menjadikan beliau bakal bebas pada 23 Ogos 2028.

Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya