GEORGE TOWN : Semua nelayan yang layak dan berdaftar di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk projek Pulau Silikon telah menerima bayaran pampasan masing-masing ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Datuk Seri Farizan Darus ketika mengesahkan perkara itu berkata, secara keseluruhannya, sebanyak RM11.78 juta telah disalurkan kepada 791 nelayan yang mempunyai lesen dan masih aktif.
Beliau berkata, pada mulanya, seramai 877 nelayan telah berdaftar di bawah pelan tersebut, namun, 84 daripada mereka gagal mengemas kini dokumen yang diperlukan sebelum tarikh akhir iaitu pada 31 Oktober tahun lepas.
Katanya, ini termasuk nelayan yang tidak aktif, nelayan yang mempunyai lesen baharu sepanjang tahun lepas, nelayan yang telah berpindah serta mereka yang telah meninggal dunia.
“Bagaimanapun, bayaran ‘ex-gratia’ untuk dua nelayan lagi ditangguhkan buat masa ini disebabkan konflik berkepentingan berikutan kes mahkamah yang sedang berjalan dengan pihak kami. Penangguhan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Taskforce Nelayan sehingga rayuan diselesaikan,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, kira-kira 10 orang nelayan dari Teluk Kumbar, Batu Maung, Seri Jerjak, Teluk Tempoyak dan Pulau Betong di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) di Permatang Damar Laut, dekat sini menerima sumbangan berupa hamper sempena perayaan Krismas serta sambutan tahun baharu daripada PIC.
Jelas Farizan, sumbangan tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan nelayan di kawasan sekitar projek Pulau Silikon ketika ini.
“Walaupun kerja-kerja (pembangunan Pulau Silikon) sedang berjalan di tapak, namun, kami tetap komited untuk melaksanakan program seperti ini yang jelas memberi manfaat kepada komuniti nelayan demi kesejahteraan jangka panjang dan kelestarian ekonomi mereka,” ujar beliau.-UTUSAN