RANTAU PANJANG: Kawasan sempadan Malaysia-Thailand, di sini umpama ‘litar lumba’ dalam mengekang aktiviti penyeludupan.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, operasi di pintu sempadan menguji stamina pasukan AKPS dalam penugasan seharian mereka.
“Mana tidaknya, pintu masuk sempadan ini bukan sahaja sibuk dengan urusan rasmi tetapi menjadi ‘litar lumba’ untuk mereka yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan.
“Justeru, semua pegawai kena bersedia dan jangan biarkan mereka ini (penyeludup) lebih laju daripada kita,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Rintis AKPS yang disempurnakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini semalam.
Hazani berkata, AKPS bertindak sebagai agensi kerajaan barisan hadapan di pintu-pintu masuk negara termasuk di pelabuhan berdasarkan Akta 806 Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 yang telah diwartakan pada 17 Oktober tahun lalu.
Menurutnya, pemilihan Kompleks ICQS Rantau Panjang sebagai lokasi rintis sekali gus menjadi pembuktian konsep agensi tunggal kawalan sempadan kerana ia merupakan antara pintu masuk strategik antara Malaysia dan Thailand.
“Pelaksanaan operasi rintis AKPS di sini merupakan langkah pertama bagi agensi ini beroperasi serta mengenal pasti kebaikan dan kelemahan yang akan diperbaiki sebelum pengoperasian diperluas ke 21 lokasi pada Februari tahun depan.
“Pengoperasian rintis ini adalah satu inisiatif persediaan pengoperasian utama AKPS di samping bertujuan menangani isu-isu kritikal secara lebih tegas dan menyeluruh,” katanya.
Beliau memberitahu, pelaksanaan operasi rintis di Kompleks ICQS Rantau Panjang juga akan membawa perubahan yang signifikan kepada sistem kawalan pintu masuk sempadan negara.
Tambahnya, sebagai agensi tunggal yang menyelaras semua urusan pintu masuk sempadan, AKPS adalah cerminan komitmen Kerajaan Madani di bawah kluster Kemakmuran bagi memastikan integriti dan keberkesanan kawalan pintu masuk sempadan berada pada tahap tertinggi.
“AKPS bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan serta pemeriksaan secara bersepadu dan komprehensif di pintu masuk darat, laut dan udara, termasuk pelabuhan,” ujarnya. – UTUSAN