Sempadan Durian Burung sesak, jadi laluan alternatif rakyat Malaysia ke Thailand

Sempadan Durian Burung sesak, jadi laluan alternatif rakyat Malaysia ke Thailand

PENINGKATAN kenderaan terutama di laluan kereta dan bas berlaku di Kompleks ICQS Kota Putra, Durian Burung sempena cuti Tahun Baharu Cina. - IHSAN IMIGRESEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Aliran trafik di laluan bas dan kereta untuk memasuki Thailand mengalami peningkatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra, Durian Burung, di sini.

Pintu masuk ke Thailand itu merupakan laluan alternatif untuk pengembara khususnya rakyat Malaysia yang ingin melancong ke negara gajah putih, selain Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.

Jurucakap Jabatan Imigresen Negeri Kedah memaklumkan, peningkatan kenderaan berlaku secara mendadak pada sebelah pagi berikutan orang ramai mengambil peluang cuti perayaan Tahun Baharu Cina hari ini dengan membawa masuk kereta ke Thailand.

Katanya, aliran trafik dilaporkan sesak sehingga ke kaunter pemeriksaan Imigresen, namun laluan-laluan dan kaunter pemeriksaan lain berada dalam keadaan biasa.

Seorang pelancong dari Johor, Hamzah Sanip, 39, berkata, dia mengetahui laluan itu daripada rakannya yang tinggal di Kedah kerana kebiasaanya hanya melalui Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam untuk ke Thailand.

“Memang sebelum ini saya tahu Bukit Kayu Hitam atau Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis sahaja sempadan untuk keluar masuk ke Thailand. Tapi selepas rakan maklumkan laluan Durian Burung ini saya ingin mencubanya.

“Saya tak tahu bagaimana hendak gambarkan sesak atau tidak kerana pertama kali guna laluan ini tapi berbanding Bukit Kayu Hitam rasanya aliran kenderaan di sini lebih lancar dan cepat walaupun banyak juga kereta,” katanya di sini hari ini.

Penduduk tempatan, Faizal Abu Bakar, 45, berkata, peningkatan kenderaan sempena cuti umum di Kompleks ICQS Kota Putra berlaku sejak akhir-akhir ini berbanding dahulu yang tidak ramai menyedari kewujudannya.

Katanya, kesesakan turut berlaku pada cuti perayaan Hari Krismas penghujung Disember lalu setelah laluan itu dikongsi pengguna media sosial.

“Pintu masuk ini juga boleh ke Hatyai yang memang sering menjadi tumpuan rakyat Malaysia kalau bercuti, tetapi jika nak ke Pattani atau Yala memang sesuai lalu sini kerana lebih dekat berbanding dari Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Sementara itu, aliran trafik di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dilaporkan sesak seperti kebiasaan cuti-cuti perayaan sebelum ini yang bermula seawal 5 pagi.

Bagaimanapun, kesesakan semakin reda menjelang tengah hari kerana pelancong mahu mengoptimumkan waktu bercuti mereka di lokasi-lokasi menarik sekitar Selatan Thailand dengan memasuki negara itu seawal mungkin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya