KUALA LUMPUR: Tindakan menyembunyikan Titah Adendum berkait bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan merupakan pengkhianatan besar pada Perlembagaan Malaysia.
Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Malaysia (Srikandi Bersatu), Nurul Syazwani Noh Omar berkata, masalah membabitkan dokumen rasmi itu bukan sekadar isu teknikal atau politik tetapi menyentuh asas maruah negara dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Sehubungan itu, kata beliau, Srikandi Bersatu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan derhaka tersebut dan menuntut pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi.
“Kami menyeru agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat dalang di sebalik pengkhianatan ini. Jangan ada seorang pun yang terlepas.
“Isu ini adalah bukti nyata kelemahan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjaga martabat institusi diraja dan kedaulatan undang-undang. Kerajaan yang lemah dan tiada integriti ini telah mencemarkan nama baik negara di mata rakyat dan dunia.
“Kami mendesak Perdana Menteri dan anggota kabinet untuk meletakkan jawatan segera sebagai tanda bertanggungjawab atas kelemahan ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mahkamah Rayuan pada hari ini membuat keputusan untuk membenarkan Najib untuk memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Dalam keputusan 2-1, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril menyokong keputusan itu, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim prosiding hari ini menentang penghakiman terbabit.
Mengulas lanjut, Nurul Syazwani yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang berkata, keputusan Mahkamah Rayuan itu menimbulkan persoalan tentang integriti dan keikhlasan kerajaan dalam menghormati serta melaksanakan amanah Institusi Diraja.
“Sikap ini hanya menggambarkan ketidakkonsistenan dan ketidakjelasan dalam pentadbiran negara,” katanya.
Tambahnya, Srikandi Bersatu bersumpah akan terus berjuang mempertahankan YDPA dan Raja-Raja Melayu sebagai paying kedaulatan negara.
“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu di belakang Raja-Raja Melayu demi mempertahankan kehormatan institusi diraja yang menjadi tonggak perpaduan dan kestabilan negara,” ujarnya. – UTUSAN