KINABATANGAN: Sembilan pekerja ladang dikejarkan ke hospital selepas terhidu racun serangga semasa membaja pokok sawit di Ladang Sentosa Sime Darby Kinabatangan, di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.15 petang dan kesemua mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, setakat 8.50 malam, lapan mangsa telah dibenarkan pulang manakala, seorang mangsa belum pulih sepenuhnya.
“Mangsa masih berada di dalam wad Hospital Kinabatangan dan keadaan dilaporkan stabil.
“Difahamkan kesemua mangsa terhidup racu serangga jenis Carbosulfan UN3077 semasa membaja pokok sawit pada pukul 9 pagi di ladang berkeluasan 20 ekar itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.15 petang dan sepasukan enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Kinabatangan oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.
Nurul Azlan berkata, pasukan bomba bertindak menutup kawasan dan membuat persempadanan (memasang sawar-sawar) bagi memastikan keselamatan. – UTUSAN