Semak semula Pelan Strategik, Dasar Pembangunan Luar Bandar

Semak semula Pelan Strategik, Dasar Pembangunan Luar Bandar – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu Pelan Tindakan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB 2030) dan Pelan Strategik Kementerian 2025 perlu disemak semula agar selari dengan fokus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap perancangan tidak boleh sekadar ‘melepaskan betuk di tangga’ tetapi perlu benar-benar memastikan berada di laluan tepat untuk membangunkan masyarakat desa.

Beliau yang juga Menteri Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, selain penilaian dalaman, kementerian harus bekerjasama dengan badan penyelidikan pihak ketiga yang bebas untuk memastikan penilaian program dan inisiatif dibuat secara objektif.

“Untuk lebih memahami maklum balas rakyat, saya mengarahkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menjalankan kajian menyeluruh mengenai tahap kepuasan rakyat terhadap penyediaan keperluan asas, kemudahan asas dan usaha memangkin sosioekonomi kawasan pedesaan.

“Dapatan ini sangat penting untuk memastikan perancangan kita kekal relevan dan lebih berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pada tahun ini beliau mahu kerjasama strategik lebih kukuh melalui pendekatan ‘cross- functional’ dengan mengumpulkan seluruh kekuatan setiap organisasi yang akan dilaksanakan melalui tiga kluster utama.

Katanya, kluster pertama ialah Kluster Modal Insan iaitu menyelaraskan peranan institusi di bawah KKDW dalam bidang pendidikan, latihan kemahiran, dan pembangunan kapasiti masyarakat desa, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kedua, Kluster Ekonomi akan fokus kepada pembangunan ekonomi, pembasmian kemiskinan, pengukuhan infrastruktur, dan peningkatan pendapatan masyarakat desa.

“Contohnya, kita gabungkan kekuatan MARA Corp dan anak-anak syarikat Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) dalam pembangunan hartanah dan pelaburan, dengan FELCRA yang mengurus lebih 230,000 hektar tanah.

“Jika semua ini dapat disepadukan – kita mampu mencipta satu lagi game-changer yang dapat mengubah lanskap ekonomi masyarakat desa,” katanya.

Jelasnya, Kluster ketiga ialah Kluster Usahawan dengan memberi tumpuan kepada usaha membimbing dan menyokong usahawan luar bandar untuk menjadi lebih berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Melalui Program Gate to Global di bawah MARA contohnya, ia telah membawa lebih 765 usahawan bumiputera memasarkan produk mereka ke luar negara dan berjaya menghasilkan potensi jualan sebanyak RM377.7 juta.

“Melalui pendekatan cross-functional ini, kita bukan sahaja mampu mengelakkan pertindihan peranan dan meningkatkan kecekapan – tetapi juga dapat mengoptimumkan penggunaan sumber yang terhad dengan lebih efektif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya